Setahun dinantikan peminat Apple, akhirnya model yang menjadi rebutan ramai iaitu Apple iPhone 14 Pro dan iPhone 14 Pro Max diumumkan secara rasmi. Menerusi pelancaran model pada kali ini, Apple telah memilih warna Deep Purple sebagai warna rasmi.

Dari segi rekaan, Apple akhirnya tampil dengan perubahan pada bahagian skrin di mana notch atau takuk telah dikecilkan Apple melabelkannya sebagai lubang ‘pil’.

Mengulas mengenai skrin dan paparan, kedua-dua model ini masing-masing hadir dengan saiz skrin 6.1-inci dan 6.7-inci serta masih menyokong Apple ProMotion 120Hz, HDR10+ serta Ceramic Shield dalam menawarkan ketahanan pada skrin. Bukan itu sahaja, ciri Always On Display juga turut tersedia pada model ini dalam memudahkan pengguna melihat notifikasi tanpa perlu unlock.

Dari segi kamera, iPhone 14 dan 14 Pro Max masih lagi mengekalkan penawaran tiga kamera pada bahagian belakang beserta sensor LiDar. Menariknya, kamera utama pada model ini ditawarkan dengan sensor 48-megapixel dalam menawarkan kualiti imej yang lebih baik buat para pengguna khususnya pada waktu cahaya malap atau malam. Sokongan Apple ProRaw 48-megapixel antara yang tersedia.

Selain itu, Apple turut memberi kemas kini pada sensor 12-megapixel yang tersedia pada lensa ultra-lebar dan telephoto. Model yang dilancarkan pada kali ini menyokong eSIM sahaja serta turut dilengkapkan dengan teknologi sambungan ke satelit bagi tujuan kecemasan.

Pihak Apple turut menjanjikan ketahanan bateri untuk seharian penggunaan buat para pengguna. Empat warna ditawarkan buat para pengguna terdiri daripada Deep Purple, Gold, Silver dan Space Black. Berikut merupakan senarai harga beserta ruang storan yang ditawarkan bagi model terbaru Apple ini.

iPhone 14 Pro

128GB – RM5,299.
256GB – RM5,799.
512GB – RM6,799.
1TB – RM7,799.

iPhone 14 Pro Max

128GB – RM5,799.
256GB – RM6,299.
512GB – RM7,299.
1TB – RM8,299.

Apple iPhone 14 Pro dan 14 Pro Max masing-masing sedia ditawarkan bermula 16 September manakala jualan rasmi bagi pasaran Malaysia bermula 23 September ini. Sekiranya anda mahukan model iPhone terbaik pada ketika ini, iPhone 14 Pro Max antara yang wajar anda dapatkan.