Selain penggunaan MySejahtera, aplikasi SELangkah yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya terbukti berkesan dalam pengesanan kontak rapat pesakit COVID-19 menerusi kod QR serta menawarkan sejumlah fungsi lain.

Terkini, Selangkah Ventures Sdn Bhd (SVSB) telah memenangi anugerah AI untuk teknologi penjagaan kesihatan daripada Singapore Business Review (SBR) untuk aplikasinya SELangkah. Pada mulanya ini hanyalah aplikasi pengesanan kontak rapat COVID-19, namun kini telah berjaya diperkembangkan keupayaannya ke tahap lebih maju.

Sumber Gambar: Singapore Business Review

Dalam memberi anugerah ini, panel penilai mengambil perhatian berkaitan ciri-ciri menarik yang ditawarkan menerusi aplikasi SELangkah. SELangkah sedia ditawarkan dalam bahasa Malaysia dan Inggeris pada Mei 2020 dan mempunyai kira-kira 35 juta log pengguna yang direkodkan menerusinya.

Selain mengesan kontak rapat, antara ciri lain yang ditawarkan seperti pengesanan kenalan, pemantauan kuarantin di rumah, vaksinasi, bantuan kebajikan, sokongan psikososial, pelantikan ujian, makmal dan penghantaran laporan. Malah, pengguna juga mengakses sejumlah ubat-ubatan, kit ujian dianogstik dan sebagainya menerusi aplikasi tersebut.

Sumber Gambar: Majlis Keselamatan Negara

Menariknya, aplikasi ini tidak lama lagi bakal membolehkan pengguna menyimpan rekod kesihatan elektronik dan maklumat kesihatan peribadi mereka pada aplikasi termasuk data bacaan tekanan darah seseorang, paras gula dalam darah, kadar nadi, suhu badan dan indeks jisim badan (BMI).

Difahamkan ciri terbaharu ini sedang dalam percubaan dan belum berfungsi sepenuhnya pada aplikasi tersebut malah disasarkan untuk dilancarkan menjelang akhir suku kedua tahun ini. Dalam masa yang sama, mereka turut merancang untuk mengintegrasikan aplikasi SELangkah bersama aplikasi kesihatan komersial seperti Apple Health, Google Fit dan MyFitness Pal.

Matlamat utama SVSB pada masa hadapan adalah untuk terus mengembangkan lagi aplikasinya dengan menyertakan lebih banyak ciri yang memberi manfaat kepada orang ramai. Jadi, tidak hairanlah bagaimana pembangun aplikasi ini mampu memperolehi anugerah tersebut pada tahun ini.

Ikuti juga kisah 8 usahawan teknologi yang berjaya dilahirkan dari Cyberjaya sehingga mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Didakwa Bandar Yang ‘Gagal’, Ini Bukti 8 Usahawan Teknologi Yang Berjaya Dilahirkan Dari Cyberjaya

6 Artis Tempatan Yang Sudah Terlibat Dalam Dunia NFT