Kemas kini iOS 16 bakal ditawarkan pada 13 September buat semua pengguna di Malaysia. Terdapat pelbagai ciri menarik iOS 16 yang anda boleh terokai menerusi kemas kini terbaharu ini.

Pada kali ini, Apple menawarkan solusi untuk mengubah suai pelbagai perkara termasuklah lock screen, widgets dalam masa yang sama turut meningkatkan produktiviti seharian dengan beberapa ciri penting. Ini sembilan ciri menarik iOS 16 yang anda perlu ketahui sebelum menggunakannya.

1. Lock screen serba baharu

Sumber Gambar: Apple

Jika sebelum ini kita hanya terikat pada rekaan lock screen yang terhad, kini Apple mahukan kelainan dengan memberikan kebebasan buat pengguna untuk mengubah suai mengikut citarasa masing-masing. Anda boleh menggunakan gambar sendiri untuk ditetapkan sebagai gambar lock screen pada paparan utama.

Menariknya, anda boleh mengubah gaya fonts, warna dan juga style gambar yang lebih unik. Semua ini boleh dibuat pada lock screen utama dengan mudah. Anda boleh mencipta sejumlah rekaan lock screen termasuklah menggunakan koleksi tema template yang disediakan oleh pihak Apple sendiri.

2. Menambah widgets pada lock screen.

ios 16
Sumber Gambar: TechCrunch

Tidak cukup dengan kebebasan menyesuaikan rekaan lock screen mengikut citarasa pengguna, anda juga dibolehkan menambah widgets pada bahagian tersebut. Anda boleh memasukkan pelbagai jenis widgets seperti kalendar, loceng, cuaca dan banyak lagi.

Dengan ini, anda sudah boleh mengakses sesuatu fungsi tanpa perlu menyahkunci skrin untuk melihat atau menggunakan widget tersebut. Anda boleh menambah widgets dengan mudah pada ruangan yang disediakan di lock screen utama.

3. Tukar pilihan lock screen berdasarkan mod Focus

ios 16
Sumber Gambar: Twitter

Lock screen yang sudah dihiasi dengan pelbagai widgets dan juga pilihan gambar latar belakang yang terlalu menonjol mungkin akan mengganggu urusan seharian. Oleh itu, anda kini boleh mengubah gambar latar belakang dan juga widgets berdasarkan mod Focus.

Anda boleh mengakses tetapan untuk berbuat sedemikian menerusi bahagian Your Focus untuk membuat lock screen versi Focus. Dengan menggunakan tetapan Focus ini, anda hanya akan dipaparkan dengan informasi dan juga mesej daripada mereka yang penting sahaja agar boleh meningkatkan produktiviti seseorang.

4. Menapis aplikasi atau mesej untuk mod Focus.

Sumber Gambar: Apple

Menerusi mod Focus, anda boleh menapis bagaimana aplikasi dan notifikasi secara spesifik sewaktu diaktifkan. Dalam bahasa mudahnya, anda boleh menapis sejumlah aplikasi atau notifikasi mesej yang diterima daripada dipaparkan pada paparan utama.

Jadi, hanya perkara penting sahaja yang dipaparkan pada paparan utama sekaligus anda lebih alert dengan sesuatu perkara tanpa hilang fokus pada tugasan yang dilakukan. Anda boleh mencipta beberapa profil lock screen berdasarkan mod fokus yang boleh ditukar mengikut keperluan anda.

5. Boleh menyunting dan membatal pada iMessage

Sumber Gambar: Apple

Salah satu ciri yang dinantikan ramai iaitu kebolehan menyunting mesej yang dihantar ekoran typo dan sebagainya. Malah, anda juga boleh membatal sesuatu mesej yang baru dihantar sekiranya anda bertukar fikiran dalam tempoh tertentu.

Di samping itu, anda juga boleh menandakan sesuatu mesej yang diterima sebagai unread  jika tidak boleh membalasnya pada ketika itu dan akan memberi respon di kemudian hari.

6. Menjadualkan e-mel yang mahu dihantar

Sumber Gambar: Apple

Kemas kini iOS 16 juga menawarkan ciri fleksibel untuk menghantar e-mel mengikut kesesuaian masa anda. Anda mungkin mahu menghantar e-mel pada tempoh tertentu kerana mahu menyunting kandungan atau seumpamanya, jadi anda diberikan peluang untuk menetapkan penghantaran mesej agar tidak terlupa untuk menghantar kelak.

Anda boleh berbuat sedemikian dengan hanya menekan butang hantar dalam sesuatu tempoh kemudian pilih bilakah anda mahu menghantar e-mel tersebut.

7. Membuat peringatan untuk menghantar sesuatu e-mel.

ios 16
Sumber Gambar: Apple

Sekiranya anda sudah menangguhkan sesuatu e-mel yang mahu dihantar, kini boleh juga membuat peringatan pada e-mel berkenaan agar tidak lupa. Anda boleh menetapkan peringatan penghantaran e-mel dengan swipe e-mel berkenaan dan klik butang Remind Me.

8. Membatalkan e-mel yang baru dihantar

ios 16
Sumber Gambar: Twitter

Bukan itu sahaja, anda juga boleh membatalkan sesuatu e-mel baru yang dihantar. Ciri ini sangat penting buat mereka yang sering berurusan menerusi e-mel di mana mungkin berlaku kesalahan ejaan, fail yang dihantar sekaligus boleh menjejaskan imej profesional.

Jadi, ciri ini boleh memastikan setiap e-mel yang dihantar akan sentiasa berada di dalam teliti dan kekal profesional dari sebarang kesalahan yang tidak disengajakan di dalam seharian. Anda boleh klik pada Undo Send untuk membatalkan penghantaran sesuatu e-mel.

9. Mengasingkan subjek daripada latar belakang

Akhir sekali, ciri menarik iOS 16 yang dibawakan adalah kebolehan mengasingkan sesuatu subjek daripada latar belakang pada gambar. Anda sudah tidak perlu menggunakan aplikasi ketiga dan menyunting hanya untuk mengasingkan sesesuatu objek sebelum dihantar sebagai mesej.

Kini anda hanya perlu menekan dalam beberapa saat pada subjek di dalam gambar dan klik Copy untuk menyalinnya. Kemudian, anda boleh menampal subjek yang disalin pada mana-mana aplikasi pemesejan seperti iMessage.

Apple iOS 16 sedia untuk dimuat turun buat pengguna di Malaysia yang menggunakan model iPhone 8 serta model yang lebih baharu bermula 13 September ini pada jam 1 pagi. Jadi, ciri manakah yang anda tidak sabar untuk menggunakannya sebaik selesai dipasang pada iPhone masing-masing?

Sumber