Permainan CSGO merupakan salah satu permainan yang bertemakan first-person shooter yang berjaya sehingga ke hari ini oleh kerana gaya permainan yang menarik serta pelbagai penawaran kosmetik CSGO yang boleh dipakai sewaktu permainan. Pengenalan kosmetik dalam CSGO telah mengubah landskap permainan tersebut untuk tampil lebih meriah.

Komuniti CSGO mula memburu kosmetik-kosmetik menarik yang ditawarkan oleh Valve serta di pasaran yang dijual oleh pemain lain. Sesetengah individu sanggup membelanjakan sejumlah wang yang besar dalam memiliki sesuatu kosmetik esklusif tersebut. Berikut merupakan 6 item kosmetik CSGO yang termahal di dunia.

1. Karambit | Case Hardened Blue Gem – RM5.8 juta
kosmetik csgo
Sumber Gambar: Talkesport

Pisau kerambit ini telah disenaraikan sebagai item kosmetik termahal dalam sejarah CSGO setakat ini. Ditawarkan dengan harga melebihi RM5 juta pasti ia sesuatu barangan yang istimewa dalam komuniti CSGO. Apa yang membuatkan ia sangat bernilai adalah kecantikan warna biru muda yang berkilau pada keseluruhan mata pisau tersebut.

Ditambah pula warna biru muda yang dikenali sebagai Blue Gem sangat sukar untuk didapati serta paten warna secara menyeluruh pada sebilah pisau juga bergantung pada nasib. Kerambit ini pernah dijual pada harga RM417,000 sekitar tahun 2016 dan kini dilihat harga pisau ini sudah melonjak secara drastik pada tahun ini.

2. StatTrak AK-47 | Case Hardened Blue Gem With 4X Titan Holos – RM628,575
kosmetik csgo
Sumber Gambar:fullcourtstrategies

AK-47 ini didatangkan dengan rekaan paten yang unik bersama kombinasi warna biru metalik padanya. Bukan itu sahaja, terdapat pelekat hologram istimewa yang telah ditambah pada AK-47 tersebut dengan harga bagi setiap satu pelekat mampu mencecah ratusan ribu ringgit ekoran sangat sukar didapati. Hal ini sekaligus telah menaikkan lagi nilai senjata tersebut.

Dilaporkan kosmetik ini telah berjaya dijual dengan harga setinggi RM628,575 pada awal tahun ini. Bahkan, terdapat seorang pemain profesional CSGO sendiri menggunakan kosmetik berkenaan sewaktu kelayakan IEM Katowice 2021. Kosmetik di bawah barisan StatTrak mempunyai pelbagai rekaan yang unik serta lebih mahal daripada yang biasa.

3. StatTrak M4A4 | Howl With 4X iBUYPOWER 2014 Holos – RM419,000
kosmetik csgo
Sumber Gambar: Talkesport

Ini merupakan salah satu kosmetik yang sangat jarang dijumpai pada hari ini oleh kerana kontroversi yang timbul dalam arena CSGO. Kosmetik M4A4 Howl dikatakan telah meniru hasil kerja pereka lain yang sekaligus menyebabkan terpaksa diberhentikan penawaran kepada pemain selepas itu. Pemain kini tidak berpeluang untuk melihat penawaran kosmetik tersebut oleh pihak Valve lagi.

Mereka hanya boleh berharap sebahagian pemilik kosmetik tersebut untuk menjual di pasaran. Ditambah pula kehadiran pelekat digital yang rare padanya telah membuatkan kosmetik senjata ini menjadi lebih mahal daripada yang asal. Hal ini kerana bilangan pemain pada tahun 2014 sangat sedikit, maka hanya sedikit pemain sahaja yang membeli pelekat berkenaan.

4. Souvenir AWP | Dragon Lore – RM377,145
Sumber Gambar: Skincashier

Sekiranya anda mengikuti arena permainan CSGO, pasti sangat kenal dengan kosmetik Souvenir AWP Dragon Lore ini. Warna keemasan yang sangat menonjol berserta namanya yang cukup eksklusif telah menjadi dambaan kesemua peminat CSGO. Harganya pula juga seperti yang dijangkakan bakal mencecah ratusan ribu ringgit di pasaran semasa.

Hal ini kerana kotak Cobble Stone yang menghasilkan kosmetik Dragon Lore hanya ditawarkan pada tempoh yang tertentu sahaja. Maka, penawaran kosmetik Dragon Lore sudah menjadi sangat terhad dan hanya individu tertentu sahaja yang mempunyainya. Tambahan pula, kosmetik ini mempunyai peminat yang ramai membuatkan ia akan sentiasa menjadi rebutan.

5. StatTrak M9 Bayonet | Crimson Web Factory New – RM38,734
Sumber Gambar: Reddit

Bila sebut mengenai kosmetik mahal dalam CSGO, senjata pisau antara yang menjadi perhatian pemain seperti StatTrak M9 Bayonet ini. Pisau M9 Bayonet versi Crimson Web telah menampilkan keunikan tersendiri dan dicari oleh peminat di pasaran. Didatangkan dengan warna merah yang sangat memukau berserta corak sarang labah yang unik di permukaan bilah pisau itu.

Setakat ini, penawaran pisau ini sangat terhad terutamanya dalam keadaan yang baik. Dalam erti kata lain, pemain di luar sana mempunyai peluang yang tipis untuk memiliki pisau tersebut. Kosmetik pisau ini masih memegang nilai yang tinggi walaupun sudah berusia 8 tahun lamanya.

6. StarTrack AK-47 | Fire Serpent Factory New – RM34,340
Sumber Gambar: Reddit

Kosmetik ini tidak mempunyai sebarang efek mahupun rekaan yang epik namun masih mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

Fire Serpent dianggap sebagai barangan nostalgia kerana sudah meniti sedekad di dalam permainan CSGO. Peratusan yang rendah untuk mendapatkan kosmetik ini juga telah menjadi punca harganya masih tinggi di dalam pasaran semasa.

Sekiranya anda mempunyai wang yang banyak, sanggupkah anda membeli kosmetik di atas yang sudah bernilai seperti sebuah rumah banglo mewah di dunia sebenar? Difahamkan perkembangan kriptowang juga telah merancakkan lagi harga kosmetik berkenaan dan dijadikan sebagai pelaburan untuk sesetengah individu.

Sementara itu, permainan Dota 2 juga mempunyai sejumlah item kosmetik eksklusif yang menjadi rebutan pemain di luar sana.

6 Item Kosmetik Watak Dota 2 Termahal Di Pasaran Pada Hari Ini

7 Mobile Games Yang Mencabar Untuk Dicuba Para Gamers Di Luar Sana