Kemas kini iOS 15 sudahpun ditawarkan kepada pengguna iPhone di seluruh dunia pada 20 September lalu. Pelbagai pembaharuan yang telah ditambah berserta rekaan antara muka aplikasi yang lebih menarik. Sokongan kemas kini iOS 15 ditawarkan kepada model iPhone 6S dan ke atas sahaja.

Pengguna iPhone yang sedia ada bakal menerima kemas kini secara automatik pada bahagian tetapan ataupun boleh menyemak secara manual pada bahagian Software Update untuk mengemas kini versi terbaru. Terdapat lima ciri  kemas kini iOS 15 yang menarik untuk diterokai oleh pengguna.

1.SharePlay on Facetime

Sumber Gambar: 9to5mac

SharePlay merupakan ciri terbaharu yang ditawarkan dengan kebolehan memaparkan kandungan video, mendengar muzik, melihat gambar mahupun menonton rancangan bersiri bersama pengguna lain secara langsung. SharePlay juga boleh diakses menerusi peranti iPhone, iPad dan Mac.

Terdapat pelbagai aplikasi pihak ketiga yang menyokong fungsi ini seperti TikTok, Twitch, Netflix, HBO Max dan Disney Plus. Pihak yang dijemput pada sesi SharePlay turut boleh mengawal konten yang dimainkan oleh si pemanggil tersebut.

2. Background Sounds

Sumber Gambar: Lifehacker

Menerusi iOS 15 juga, Apple telah memperkenalkan fungsi terbaharu iaitu Background Sounds di mana ianya memberikan pengguna mendengar bunyi alam semula jadi menerusinya. Ciri ini telah direka untuk meningkatkan fokus, menenangkan fikiran dan menggurangkan gangguan dalam aktivti seharian.

Di samping itu, ciri ini akan terus terpasang pada bahagian latar belakang sistem operasi tanpa menggangu sesi pelayaran aplikasi lain. Anda boleh mengaktifkan ciri berkenaan menerusi Accessibility.

3. Live Text

Sumber Gambar: Apple

Kemas kini kali ini membawakan ciri Live Text yang boleh didapati menerusi aplikasi kamera iPhone. Live Text membolehkan pengguna menyalin teks atau membuat carian dan menterjemah bahasa pada objek di dunia sebenar. Ciri ini juga boleh digunakan pada gambar yang telah ditangkap pada telefon pintar anda juga.

4. Facetime Links

Sumber Gambar: Macworld

Kemas kini terbaharu Facetime membolehkan anda membuat pautan untuk menjemput pengguna lain bagi sesi panggilan yang akan berlangsung. Yang menariknya pada kali ini, anda sudah boleh menjemput pengguna selain peranti Apple untuk menyertai sesi Facetime dengan mudah.

Jemputan panggilan boleh dikongsi ke aplikasi pemesejan SMS, WhatsApp, emel dan sebagainya untuk pengguna menghadiri sesi yang telah dijadualkan. Panggilan yang dibuat juga telah ditambah dengan ciri sekuriti untuk memastikan privasi anda sentiasa terjamin.

5. Focus mode

Sumber Gambar: Cnet

Bagi mereka yang sering menghadapi masalah untuk fokus kepada tugasan harian, kehadiran ciri Focus mode bakal menyelesaikan masalah berkenaan. Dengan mengaktifkan Focus mode, anda boleh mengubah suai sebarang notifikasi aplikasi dengan hanya memaparkan notifikasi yang penting sahaja.

Hal ini sekaligus dapat meningkatkan produktiviti peribadi serta mengikuti perkembangan penting sepanjang digunakan. Bahkan, anda turut boleh menyorokkan ikon aplikasi daripada menu utama supaya tidak boleh diakses dengan mudah.

Ketahui bagaimana Apple mampu menjual sebanyak 2 billion unit iPhone pada baru-baru ini menerusi pautan di bawah.

Apple Berjaya Jual 2 Bilion iPhone Kepada Pengguna Sejak Mulai Dilancarkan

Apple Sedang Bangunkan Fungsi Kesan Kesihatan Mental Menerusi iPhone

Sumber