Penggunaan telefon pintar sangatlah penting pada saat Perintah Kawalan Penuh (PKP) ini. Pelbagai tugasan dan urusan harian boleh diuruskan dengan menggunakan telefon pintar sahaja. Jika berlaku keciciran atau kehilangan sewaktu anda berada di luar, pasti sukar untuk mengagak di mana lokasi sebenar telefon tersebut.

Maklumat peribadi dan gambar anda boleh dimanipulasi sekiranya dapat di tangan yang salah. Jika tidak dikesan dengan awal, peluang untuk menjumpai telefon akan semakin tipis. Terdapat beberapa cara kesan telefon hilang khususnya buat pengguna Android.

1. Guna Gmail

cara kesan telefon hilang

Google telah menyediakan perkhidmatan pengesanan peranti melalui pelbagai platform. Anda boleh membuat penjejakan dengan menggunakan akaun Gmail. Pelbagai fungsi yang telah disediakan oleh Google untuk memudahkan pengguna untuk menjejak telefon pintar atau aktiviti seharian.

Segala informasi telefon anda akan dipaparkan seperti nombor IMEI, tarikh mula menggunakan peranti berkenaan dan lokasi terkini.

Tiga fungsi yang boleh diakses oleh pengguna semasa membuat pencarian

Fungsi pertama iaitu Play Sound. Anda boleh guna fungsi ini sekiranya sudah sampai ke lokasi sasaran. Jika pasang terlalu awal, suspek boleh menutup dan mengetahui bahawa beliau sedang dijejaki.

Fungsi yang kedua pula ialah Secure Device. Melalui fungsi ini, anda boleh mengunci dan log keluar akaun Google di peranti tersebut. Anda turut boleh meninggalkan pesanan atau nombor di skrin telefon sasaran. Telefon anda akan terkunci dan masih boleh dijejaki.

Fungsi ketiga yang disediakan ialah Erase Device. Fungsi ini hanya digunakan sekiranya anda memang nekad untuk memadam segala maklumat di dalam telefon tersebut selepas gagal dikesan.

Cara untuk menjejaki menggunakan akaun Gmail

  • Lawati laman web Google Find My Device.
  • Log masuk menggunakan akaun Gmail yang digunakan pada telefon yang dicari.
  • Tunggu sehingga carian selesai.
  • Lokasi telefon anda akan terpapar secara automatik

2. Muat turun aplikasi Find My Device

Aplikasi Find My Device ini sering digunakan pengguna Android untuk menjejak telefon yang hilang. Anda boleh menjejak lokasi terkini dan mengunci telefon yang hilang sehingga berjaya dikesan. Terdapat fungsi indoor maps di mana anda boleh membuat pencarian di dalam bangunan sekiranya tercicir atau hilang.

Selain itu, anda boleh memadam segala informasi dan media di telefon yang telah hilang sekiranya telefon anda sudah tidak boleh dikesan lagi. Pesanan ringkas dan nombor telefon akan dipaparkan setelah anda mengunci telefon tersebut dari jauh.

Anda juga boleh memberi arahan ke telefon yang dijejaki untuk menghasilkan bunyi yang kuat dengan mengaktifkan fungsi bunyi dari jauh. Anda boleh dapatkan aplikasi Find My Device di Google Play Store.

Cara untuk pakai aplikasi Find My Device

  • Muat turun Find My Device.
  • Tekan Sign as guest.
  • Masukkan emel dan kata laluan.
  • Tekan Submit.
  • Aplikasi akan meminta kebenaran untuk mengakses peranti yang digunakan.
  • Klik Agree.
  • Lokasi telefon anda akan dipaparkan.

3. Pasang aplikasi Find My Lost Phone

Aplikasi Find My Lost Phone ini merupakan sebuah aplikasi penjejakan lokasi telefon pintar yang disertakan pelbagai fungsi. Anda boleh menjejak telefon dengan menekan satu klik sahaja. Di samping itu, anda boleh mengunci telefon dengan empat angka kata laluan bagi menyukarkan suspek untuk membuka telefon pintar anda.

Aplikasi ini boleh digunakan walaupun tiada sambungan internet. Bunyi loceng akan dilaraskan ke tahap maksimum secara automatik supaya anda boleh dengar dengan jelas apabila diaktifkan. Anda boleh menyimpan lokasi telefon, kod laluan dan nombor IMEI pada telefon lain yang telah didaftarkan melalui bahagian Lock di aplikasi ini.

Penggunaan bateri yang sedikit oleh aplikasi ini dapat memanjangkan jangka hayat telefon anda untuk dijejaki. Aplikasi ini juga boleh menghantar lokasi baru telefon melalui sistem mesej automatik di sim kad baru yang dipasang oleh suspek. Sekarang anda boleh dapatkan aplikasi Find My Lost Phone di Google Play Store.

Cara untuk menggunakan Find My Lost Phone

  • Muat turun aplikasi Find My Lost Phone.
  • Log masuk emel anda yang sudah didaftar melalui aplikasi ini.
  • Lokasi telefon anda akan dipaparkan.

4. Lawati laman web Google Maps Timeline

cara kesan telefon hilang

Google Maps Timeline ialah sebahagian fungsi Google Maps untuk merekod setiap perjalanan yang telah dilalui oleh peranti anda. Setiap informasi akan disimpan ke dalam Timeline. Ini merupakan salah satu cara kesan telefon hilang yang boleh digunakan pada platform laptop dan komputer.

Sekiranya telefon anda sudah dimatikan oleh suspek, anda hanya perlu layari ke Google Maps Timeline untuk mengetahui lokasi telefon pintar anda yang sudah dilawati. Pastikan anda telah membuka tetapan location history di peranti terlebih dahulu untuk menggunakan fungsi ini.

Untuk mengaktifkan location history melalui laman Google

  • Pergi ke Activity controls di akaun Gmail anda.
  • Aktifkan fungsi di bahagian Location History.

Cara menjejak menggunakan Google Maps Timeline

  • Buka laman web Google Maps.
  • Log masuk menggunakan emel yang digunakan pada telefon yang sedang dijejaki.
  • Tekan Menu pada bahagian atas belah kiri.
  • Klik bahagian Your Timeline.
  • Anda akan lihat titik merah pada peta tersebut menandakan lokasi telefon yang telah dikunjungi.
  • Pada ruangan atas boleh masukkan tarikh telefon anda yang hilang dan peta akan dikemaskini secara automatik.

5. Guna Lost Android

cara kesan telefon

Ini sebuah aplikasi penjejakan telefon yang mudah dipakai. Anda boleh mengakses telefon yang sedang dijejaki dengan hanya menggunakan laman web aplikasi ini. Aplikasi ini memberikan fleksibliti kepada pengguna untuk mengawal telefon dengan pelbagai fungsi yang disediakan.

Anda boleh mengakses GPS secara terus untuk mengesan lokasi sebenar telefon pada ketika itu. Di samping itu, pesanan SMS boleh dihantar melalui laman web Lost Android ke telefon tersebut. Jika, ada orang yang menjumpai telefon tersebut, mereka boleh terus menghubungi anda selepas itu.

Terdapat fungsi text to speech yang membolehkan telefon anda membaca mesej dengan menggunakan suara. Sebagai contoh, anda telah tercicir telefon di kedai makan, kemudian anda boleh menghantar arahan ke telefon tersebut untuk membaca mesej yang dihantar. Jika anda berminat untuk menggunakannya, boleh muat turun aplikasi Lost Android di Google Play Store.

Cara untuk menggunakan aplikasi Lost Android

  • Muat turun Aplikasi Lost Android.
  • Buka aplikasi ini.
  • Tekan Request Administrator rights.
  • Lawati laman web Lost Android.
  • Log masuk akaun Google yang digunakan pada telefon yang dijejaki.
  • Anda sudah boleh mengakses telefon tersebut.

Peluang untuk mendapatkan semula telefon pintar anda akan lebih tinggi dengan mengetahui beberapa cara kesan telefon hilang. Pelbagai perisian dan aplikasi yang disediakan dapat memudahkan pencarian telefon. Harap anda boleh menggunakan tutorial ini ketika menghadapi masalah pada masa kelak.

Jika anda pernah menerima panggilan yang tidak dikenali sebelum ini, anda mungkin berminat untuk mengetahui cara menyemak pemilik nombor yang tidak dikenali itu.

Ini Caranya Untuk Semak Pemilik Nombor Telefon Yang Tidak Dikenali

5 Cara Kawal Video YouTube Daripada Tontonan Kanak-Kanak