ASUS pada minggu nampaknya telah mempamerkan kesemua model terbaru mereka yang ditawarkan dengan paparan OLED. Model yang dilancarkan pada kali ini nampaknya berjaya memenuhi keperluan pengguna tidak kira sama ada pengguna kasual mahupun profesional.

Barisan model pada kali ini turut menyaksikan ASUS melancarkan model ASUS ProArt Studiobook yang hadir dengan paparan 4K OLED HDR dengan saiz skrin 16-inci. Berikut merupakan lima model terbaru yang dilancarkan ASUS pada kali ini.

1. ASUS ProArt Studiobook 16 OLED

Sekiranya anda merupakan seorang pengguna yang menggunakan komputer riba untuk kerja-kerja berat melibatkan editing dan rendering, ASUS ProArt Studiobook 16 OLED adalah jawapannya.

Model ini hadir dengan paparan yang memukau iaitu 4K OLED HDR dengan saiz skrin sehingga 16-inci sekaligus menjadi model pertama dunia yang menawarkannya.

Dari segi spesifikasi, model ini dikuasakan oleh processor AMD Ryzen 5000 H-Series/Intel Core i7 (H7600) dengan sokongan kad grafik GeForce RTX 3070/3060.

Sokongan RAM DDR4 sehingga 64GB dan ruang storan yang besar jelas menunjukkan model ini berbaloi menjadi pilihan golongan yang mahukan model dengan kuasa pemprosesan yang hebat.

2. ASUS Zenbook 14 Flip OLED

Model ini sesuai menjadi pilihan buat mereka yang mahukan komputer riba yang kompak. Malah, ASUS Zenbook 14 Flip OLED ini merupakan model 14-inci komputer riba boleh ubah ternipis di pasaran dengan paparan OLED.

Model ini turut ditawarkan dengan paparan 4K OLED serta turut hadir dengan sokongan skrin sesentuh NanoEdge yang mampu menawarkan paparan terbaik buat para pengguna.

Model ini dikuasakan oleh processor Intel Core-i7 atau AMD Ryzen 9 5000-series yang mampu menjalankan pelbagai perisian dengan lancar. Sebuah lagi perkara menarik yang ditawarkan pada model ini adalah 360° ErgoLift yang membolehkan pengguna melipat model ini mengikut keselesaan tanpa sebarang masalah.

3. ASUS Zenbook 14X OLED

Model ini ternyata menawarkan keunikan yang tersendiri apabila muncul sebagai model pertama dunia dengan skrin 14-inci OLED serta hadir dengan sokongan ScreenPad.

Penawaran ScreenPad nyata memberi kemudahan buat pengguna yang kerap menggunakan fungsi ini. Selain itu, model ini turut ditawarkan dengan 180° ErgoLift, processor Intel® Core™ i7 beserta kad grafik NVIDIA® GeForce® MX450.

4. ASUS Vivobook Pro 14X OLED

Komputer riba ASUS menerusi siri Vivobook berjaya menawarkan penggayaan serta spesifikasi yang berbaloi buat para pengguna.

Menerusi model ini, ASUS berjaya menawarkan skrin 14-inci dengan paparan 2.8K OLED HDR 600-nit beserta paparan ultra lebar 100% DCI-P3 color gamut dalam menawarkan warna yang terang dan jelas untuk tontonan pengguna.

Model ini turut ditawarkan dengan DialPad serta beberapa kemas kini dalam memudahkan pengguna khususnya sewaktu menggunakan perisian Adobe Creative. Penyediaan dwi-kipas membuatkan model ini sentiasa kekal sejuk sekaligus tidak menjejaskan tugas yang dilakukan pengguna.

5. ASUS Vivobook Pro 15 OLED

Sekiranya anda mahukan model dengan paparan yang jelas serta spesifikasi yang mantap, mungkin ASUS Vivobook Pro 15 OLED antara yang boleh anda dapatkan.

Model ini sesuai dijadikan pilihan oleh mereka yang bekerja sebagai vlogger, streamer serta pelbagai lagi yang melibatkan kerja kreatif dalam memudahkan tugasan harian.

ASUS Vivobook Pro 15 OLED dilengkapi dengan skrin 15-inci NanoEdge FHD OLED serta turut disokonga oleh audio daripada Harman Kardon. Model ini dikuasakan oleh processor Intel Core-i7 generasi kesebelas atau AMD Ryzen 9 5900HX.

Penggunaan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050 dengan sokongan dwi-kipas memastikan setiap tugasan dapat dijalankan dengan lancar. Model ini turut dilengkapkan dengan 16GB RAM beserta 512GB SSD. Menarik bukan?

Penawaran lima produk ASUS dengan paparan OLED pada kali ini secara tidak langsung memberi pilihan buat pengguna dalam mendapatkan komputer riba memenuhi keperluan. Paparan OLED yang disertakan turut menunjukkan ASUS serius mahu memberikan paparan yang terbaik buat para pengguna.

Ketahui juga tiga model yang dilancarkan ASUS pada bulan lalu daripada siri Vivobook yang ditawarkan dengan harga bermula daripada RM2,799.

ASUS Lancarkan 3 Produk VivoBook Dengan Paparan OLED Bermula Daripada RM2,799

5 Sebab ASUS Vivobook Pro 15 OLED Bakal Menjadi Pilihan Buat Anda Yang Pentingkan Produktiviti